84 jurulatih sertai Kursus SPKK

KOTA KINABALU: Seramai 84 peserta telah menyertai Kursus Sains Sukan Tahap 1 - Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) 2019 yang berlangsung di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula 24-28 Jun lalu.

Kursus anjuran Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN Sabah) itu yang disertai oleh jurulatih-jurulatih dan para penggiat sukan dari seluruh negeri Sabah, bertujuan untuk membantu meningkatkan pengetahuan dalam bidang sains sukan.

Objektif kursus itu adalah untuk melatih, melengkap dan meningkatkan pengetahuan jurulatih dalam bidang sains sukan sejajar usaha mempertingkatkan lagi prestasi dan pencapaian sukan negara menerusi kaedah latihan yang lebih saintifik dan bersistematik.

Menteri Belia dan Sukan Sabah (KBSS) YB Tuan Phoong Jin Zhe semasa berucap di majlis penutupan berkata, hari ini, penerapan sains sukan dalam kaedah kejurulatihan sememangnya sangat penting.

"Usaha untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat perlu dimulakan dari peringkat usia muda. Pendekatan melalui aktiviti sukan dan pendidikan jasmani di sekolah perlu dipertingkatkan untuk mengenal pasti bakat-bakat muda yang berpotensi.

"Usaha ini dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui bantuan sains dan perubatan sukan yang tuan-tuan dan puan-puan (para peserta kursus) pelajari semasa kursus ini," ujar beliau.

"Sejak beberapa tahun yang lalu, kita menyedari bahawa sains sukan memainkan peranan penting dalam industri sukan. Setiap aspek dikaji secara saintifik dan dihubungkaitkan untuk meningkatkan prestasi atlet menerusi latihan bersistematik.

"Dalam masa yang sama, ianya juga memberi pendedahan awal terhadap aspek sains, perubatan dan teknologi sukan sebagai elemen teras dalam penyediaan atlet elit," tambah Phoong.

"Tanpa mengaplikasikan sains sukan, jurulatih hanya melatih mengikut perasaan atau `instinct' sendiri sahaja. Sama ada atlet tersebut berlatih dengan teknik yang betul atau tidak, pencapaian atlet hanya dapat dinilai menerusi penyertaan kejohanan.

"Oleh itu, banyak usaha dan masa atlet atau jurulatih akan dibazirkan begitu sahaja," jelas beliau.

"Selain itu, melalui kursus sains sukan seperti ini, ianya dapat mengiktiraf jurulatih yang berkelayakan melalui Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK).

"Apa yang penting ialah jurulatih perlu mengaplikasikan sains sukan dalam program latihan masing-masing. Jika hanya berjaya menghadiri kursus sahaja, selepas itu sijil hanya disimpan untuk kenang-kenangan, maka tidak akan tercapai objektif yang saya katakan tadi," tegas Phoong.

Menteri itu turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Institut Sukan Negara (ISN)dan MSN Sabah, selain turut berterima kasih kepada UMS kerana membenarkan kursus lima hari itu berlangsung di institut pengajian itu.

Hadir sama di majlis penutupan ialah Pengarah MSN Sabah; En. Mohd Asneh Mohd Noor,  Pegawai Belia dan Sukan, Akademi Kejurulatihan Kebangsaan, ISN Malaysia; Puan Rajeswari Raman, Pensyarah Kursus; Prof. Madya Dr. Dayang Maryama Ag Daud dan Dr. Mohd Nizam Nazaruddin.

YB Tuan Phoong Jin Zhe (duduk depan lima dari kiri) dan En. Mohd Asneh Mohd Noor bersama para pegawai dan peserta Kursus Sains Sukan Tahap 1 - SPKK 2019 di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

YB Tuan Phoong Jin Zhe (dua kanan) menerima Modul Kursus daripada Puan Rajeswari Raman sambil disaksikan oleh En. Mohd Asneh Mohd Noor (kiri) dan Dr. Mohd Nizam Bin Nazaruddin (kanan).

YB Tuan Phoong Jin Zhe (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil para peserta Puan Nursyahzwathul Nadhierah Mohd Arif sambil disaksikan oleh Puan Rajeswari Raman (dari kiri), En. Mohd Asneh Mohd Noor dan Dr. Mohd Nizam Bin Nazaruddin.

Category: