Bawa pulang lebih banyak kejayaan: Menteri

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah (KBSS) YB. Tuan Phoong Jin Zhe mengajak atlet-atlet negeri ini untuk membawa pulang lebih banyak kejayaan khususnya dari peringkat antarabangsa.

Bercakap semasa menerima kunjungan hormat dari rombongan badminton veteran di pejabat KBSS di Wisma MUIS, Sembulan pada Isnin, beliau menaruh harapan tinggi untuk melihat dua pemain dari Sabah mencipta sejarah di Poland.

Kedua-dua pemain yang dimaksudkan itu ialah Bruni Garip @ Zaini dan Datuk Sir Anthony C. Linggian, kedua-dua mereka berusia 67 tahun.

Zaini dan Anthony akan menyertai Kejohanan Senior Dunia BWF Ke-9, 2019 yang akan berlangsung di Arena Sukan Spodek, Katowice bermula 4-11 Ogos.

"Beberapa hari yang lalu saya ada menyatakan bahawa, sekalipun prasarana sukan kita masih belum lengkap sepenuhnya, kita masih mampu melahirkan atlet-atlet cemerlang termasuk layak ke Sukan Olimpik.

"Oleh itu, saya berharap kita terus membuktikan keupayaan kita, dan atlet-atlet negeri ini terus pulang kejayaan dan pingat sama ada dari kategori pertandingan remaja, terbuka, mahupun veteran," tegas Phoong.

"Untuk itu, saya juga berterima kasih kepada Fook Loi Automax Sdn Bhd dan Ararat Sports and Souvenirs Sdn Bhd di atas kesudiaan menaja kedua-dua pemain ini bukan sahaja mewakili Sabah tetapi juga mewakili Malaysia.

"Dari pihak KBSS, kementerian ini akan sentiasa memberikan sokongan dalam apa cara sekalipun untuk memastikan sukan Sabah terus mengejar kejayaan demi kejayaan dan mengharumkan nama negara," katanya lagi.

Dengan persiapan lebih dua bulan, Zaini dan Anthony dijadualkan berlepas ke Poland pada 31 Julai untuk menyertai kejohanan dwi tahunan di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu.

Kejohanan yang disertai oleh 1,510 pemain itu berstatus antara salah satu pertandingan paling berpestij dalam Gred 1 BWF setaraf Kejohanan Dunia, Piala Thomas dan Uber, Piala Sudirman, Kejohanan Remaja Dunia dan Piala Suhandinata.

Zaini akan menyertai acara perseorangan lelaki peringkat umur 65 tahun ke atas, dan acara beregu lelaki peringkat umur yang sama berpasangan dengan Anthony.

Hadir sama semasa pertemuan itu ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah; Mohd Asneh Mohd Noor, Ketua Penolong Setiausaha Tetap (Sukan) KBSS; Razali Zinin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Fook Loi; Thomas K.Y. Chiu, Pengarah Urusan Ararat Sports; Ben Wong dan Setiausaha Persatuan Badminton Sabah (SBA) Steve Jay.

Category: