Boling Sabah raih tiga emas

KOTA KINABALU: Sabah meraih tiga pingat emas di Kejohanan Tenpin BolingĀ  Simulasi Sirkit LSBJB Peringkat Kebangsaan 2019 yang berakhir di Lite Superbowl, Pelangi Leisure Mall, Johor Bahru pada Ahad.

Selain tiga emas, kejayaan pasukan Sabah di kejohanan dua hari itu turut dihiasi dengan dua pingat perak.

Lebih manis lagi, atlet-atlet negeri ini menyapu bersih kejuaraan dalam kategori Master selepas Emmanuel Fo menjuarai kategori lelaki dan Intan Qistina menjuarai kategori perempuan.

Satu lagi pingat emas dimenangi menerusi acara Beregu Campuran gandingan mantap Zulhilmi Zulkiplee dan Intan Qistina.

Pingat perak pula dimenangi menerusi acara Trio Perempuan gandingan Cara Loh, Aleeyah Syakirah dan Intan Qistina, manakala persaingan kedudukan satu dua dalam kategori Master lelaki memaksa Zulhilmi Zulkiplee berpuas hati muncul selaku naib johan dibelakang Emmanuel.

Pasukan negeri menyertai kejohanan itu di bawah perhatian pengurus pasukan Mohd Hafiy Aslam, Chaperon; Aisyah Abdullah, pegawai pengiring; Hajjah Hasnah Paseba dan jurulatih Ricky Loh.

MOHD Hafiy (enam kiri) dan Ricky (kanan) bersama para pegawai dan atlet Sabah meraih kejayaan di Kejohanan Tenpin BolingĀ  Simulasi Sirkit LSBJB Peringkat Kebangsaan 2019 di Lite Superbowl, Johor Bahru pada Ahad.

Category: