Olahraga Tertutup Sabah nantikan penyertaan

KOTA KINABALU: Atlet-atlet seluruh negeri Sabah dialu-alukan untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Sabah 2019 yang akan berlangsung di Stadium Likas, Kompleks Sukan Kota Kinabalu bermula 3-4 Ogos.

Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Acara), Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah; Valerie Wong pada Jumaat memaklumkan, kejohanan dua hari anjuran MSN Sabah itu mempertandingkan lapan acara balapan dan enam acara padang kategori lelaki dan wanita.

Acara balapan yang dipertandingkan ialah 100 meter (m), 200m, 400m, 800m, 1500m, 5000m, 400m lari berpagar, 100m lari berpagar (wanita) dan 110m lari berpagar (lelaki).

Manakala acara-acara padang pula ialah lompat tinggi, lompat jauh, lompat kijang, melontar peluru, melempar cakera dan merejam lembing.

"Kejohanan ini hanya terbuka untuk atlet Sabah, di mana setakat ini seramai 49 atlet dari seluruh negeri Sabah telah mengesahkan penyertaan.

 "Pertandingan akan dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Kesatuan Olahraga Malaysia dan Peraturan Tetap Kejohanan.

"Pertandingan hari pertama akan bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang, manakala pertandingan hari kedua dijadualkan bermula 7.30 pagi hingga 11.50 pagi," jelas Valerie.

Sehubungan dengan itu, mereka yang berminat boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan menghubungi Pegawai Pembangunan Negeri (Olahraga), MSN Sabah; Mohd Safwan Adiman ditalian 011-10195002 / 088-538397 (sbg 109) atau email ke mohdsafwan.msns@gmail.com sebelum tarikh tutup pada 26 Julai.

Category: