Rombongan futsal kunjungi Pembantu Menteri

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah (KBSS) YB Tuan Arunarnsin Taib telah menerima kunjungan hormat dari jawatankuasa penganjur Program Champions Clinic Futsal 2019 di pejabat KBSS, Wisma MUIS, Sembulan pada Selasa.

Rombongan penganjur diketuai oleh pengurus program Azlan Soaibah bersama jurulatih Azman Soaibah dan Abd Hamid Noor Satimin. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap KBSS Neldin Gimbang.

Semasa pertemuan itu, Arunarnsin diberi taklimat berkenaan program Milo Champions Clinic Futsal 2019 yang kini berlangsung masuk minggu kedua.

Program lapan minggu melibatkan 50 peserta itu bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat muda berumur 7-12 tahun, dimana ianya dijalankan oleh jurulatih-jurulatih bertauliah diketuai oleh jurulatih futsal negara Chiew Chun Yong.

Arunarnsin berkata, program sedemikian sangat dialu-alukan oleh pihak KBSS bagi memastikan sukan futsal Sabah terus berdaya saing dan menjadi kuasa digeruni di negara ini khususnya di Sukan Malaysia (SUKMA).

"Saya berharap untuk masa-masa hadapan, program seperti ini dapat melibatkan kementerian ini (KBSS) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah.

"Jika seperti apa yang dibincangkan hari ini dapat dilaksanakan di masa akan datang, kita merancang untuk berkerjasama dengan syarikat swasta sepertimana kerjasama dengan Milo untuk kita menjalankan Jejalah Futsal Sabah untuk kita menguji dan mengenalpasti bakat dari seluruh pelusuk Sabah," jelas beliau.

YB Tuan Arunarnsin (tengah) menerima cendera kenangan daripada Azlan sambil disaksikan oleh Azman (dari kiri) Neldin Gimbang dan Abd Hamid semasa kunjungan hormat di Pejabat KBSS, Wisma MUIS, Sembulan pada Selasa.

Category: