Satu emas dari Karnival Bakat Pelapis Kebangsaan

KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah berjaya membawa pulang satu pingat emas, tiga pingat perak dan enam pingat gangsa di Karnival Bakat Pelapis Kebangsaan Siri 1/2019 yang berakhir di Pusat Sukan Kebangsaan, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.

Pingat emas dimenangi dalam sukan tinju menerusi Daniel Wahyu yang berjaya menewaskan Ahnad Danial Amran dari Perlis dalam perlawanan akhir kategori berat -54 kilogram (kg) peringkat umur 15-16 tahun lelaki.

Selain pingat emas, pasukan tinju juga berjaya membawa pulang satu perak dan dua gangsa dari temasya empat hari itu.

Pingat perak dimenangi menerusi Muhd Razif Shuhaimi dalam kategori -57kg peringkat umur 15-16 tahun lelaki, sambil pingat gangsa dimenangi menerusi Muhd Mazwan Marsam kategori -50kg peringkat umur 15-16 tahun lelaki dan Muhd Shazlizan Din kategori -44kg peringkat umur 13-14 tahun lelaki.

Dalam sukan memanah, atlet negeri ini berjaya membawa pulang satu perak dan empat gangsa, di mana pingat perak dimenangi menerusi Nur Ain Shaqirin Ismail dalam Pusingan Kelayakan Recurve Kadet Individu Perempuan.

Nur Ain turut membantu memenangi dua lagi pingat gangsa menerusi acara berpasukan iaitu Pusingan Kelayakan dan Kalah-Mati Recurve Kadet  Berpasukan Perempuan bergandingan dengan Clarabellle Shiu Xiao Lin dan Nurul Maisarah Mohd Daud.

Evan Rich Chong Qi Wei memenangi pingat gangsa ketiga dari sukan memanah dengan menduduki tempat ketiga dalam Pusingan Kalah-Mati Recurve Kadet Individu Lelaki.

Manakala pingat gangsa terakhir dimenangi menerusi gandingan Quik Chern Xin, Mohd Alif Aqil Mohd Ariffin dan Nathaniel Tan Zhi We dalam acara Pusingan Kelayakan Recurve Kadet  Berpasukan Lelaki.

Pingat perak terakhir kontinjen Sabah dimenangi dalam acara boling padang yang menyaksikan gandingan Adilah Justine, Aleeya Adriana Ade Azlham dan Nur Zarifah Wajihah Zaidi terpaksa akur tewas 10-12 di tangan pasukan Terengganu dalam perlawanan akhir acara Triple Wanita.

Temasya yang disertai 2,040 atlet, jurulatih dan pegawai itu dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) dan Majlis Sukan Negeri seluruh negara.

Temasya kali Ke-5 itu bertujuan untuk memberi peluang kepada atlet-atlet muda peringkat daerah dan negeri bertanding, di mana mereka yang potensi akan digilap untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi lagi.

Sebanyak 41 acara dipertandingkan pada temasya kali ini membabitkan 10 jenis sukan iaitu akuatik (terjun dan renang), gimrama, boling padang, menembak, memanah, olahraga, silat, tinju dan wushu.

MAZWAN, Daniel, Razif dan Shazlizan memperagakan pingat-pingat yang mereka menangi dalam sukan tinju.

ALEEYA, Nur Zarifah dan Adilah merai kejayaan mereka di sukan boling padang.

PARA Atlet dan pegawai memanah di bawah Program Pelapis dan Bakat MSN Sabah merakamkan kenangan selepas berakhirnya Karnival Bakat Pelapis Kebangsaan Siri 1/2019 di Pusat Sukan Kebangsaan, Bukit Jalil pada Ahad.

 

 

Category: