Sukan Sabah (SAGA)

DEFINISI

“SUKAN SABAH” adalah berkonsepkan kejohanan beraneka jenis sukan (multi sports competition) yang diadakan dwi tahunan dan diadakan berselang seli dengan Sukan Malaysia (SUKMA). Penyertaan adalah terbuka kepada Warga Negara Malaysia yang bermastautin di Negeri Sabah yang berumur 20 tahun ke bawah untuk kategori SUKMA;

 

 

 

OBJEKTIF

Diantara objektif  Sukan Sabah ( SAGA )  adalah seperti berikut:-

  • Untuk mencungkil dan mempertengahkan lebih ramai lagi atlet berpotensi dari semua daerah untuk mewakili bidang sukan di mana Negeri Sabah yang sedang menyerlah di Peringkat Sukan Malaysia (SUKMA);
  • Memberi peluang kepada atlet-atlet remaja di luar bandar untuk menyertai kejohanan peringkat Negeri di samping menggalakkan pembangunan sukan secara berterusan;
  • Memberi peluang dan pendedahan kepegawaian (pentadbir, Pegawai Teknik, Jurulatih, dan sebagainya);
  • Menggalakkan penggunaan kemudahan sukan yang sedia ada di peringkat akar umbi seterusnya membudayakan sukan ke arah melahirkan masyarakat yang cergas, cerdas, dan berdaya saing;
  • Menggalakkan dan memberi peluang kepada daerah untuk menjadi Tuan rumah Kejohanan Peringkat negeri disamping menyumbang kepada perkembangan aktiviti ekonomi di daerah berkenaan;
  • Menggalakkan penumbuhan persatuan/kelab sukan di peringkat daerah;
  • Untuk memberi tumpuan kepada aspek Pembangunan Atlet Remaja, di Negeri Sabah selaras dengan objektif Program Pembangunan Atlet Remaja Kebangsaan kelolaan Majlis Sukan Negara Malaysia;

 

PENYERTAAN DAERAH

Sejumlah 26 daerah telah menyertai Sukan Sabah ( SAGA ). Setiap daerah akan menghantar satu kontinjen yang akan menyertai semua acara yang pertandingkan. Daerah-daerah adalah seperti berikut:-

  1. Bandaraya Kota Kinabalu
  2. Perbandaran Sandakan
  3. Perbandaran Tawau
  4. Daerah Kudat
  5. Daerah Beaufort
  6. Daerah Kota Marudu
  7. Daerah Nabawan
  8. Daerah Sipitang
  9. Daerah Putatan
  10. Daerah Lahad Datu
  11. Daerah Beluran
  12. Daerah Kota Belud
  13. Daerah Kuala Penyu
  14. Daerah Penampang
  15.  Daerah Papar
  16. Daerah Keningau
  17. Daerah Pitas
  18. Daerah Tambunan
  19. Daerah Tenom
  20. Daerah Tuaran
  21. Daerah Ranau
  22. Daerah Semporna
  23. Daerah Kunak
  24. Daerah Kinabatangan
  25. Daerah Tongod
  26. Daerah Telupid

 

 

PERATURAN TETAP SUKAN SABAH

1.0 DEFINISI

 

1.1 ‘SUKAN SABAH” adalah berkonsepkan kejohanan beraneka jenis sukan (multi sports competition) yang diadakan dwi tahunan dan diadakan berseleng seli dengan Sukan Malaysia (SUKMA).

1.2 ‘JAWATANKUASA INDUK’ bermaksud Jawatankuasa Tertinggi SUKAN SABAH yang dipengerusikan oleh Y.B.  Menteri  Belia dan Sukan Sabah.

1.3 ‘JAWATANKUASA PENGELOLA / PELAKSANA’ dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Belia dan Sukan Sabah, jika kejohanan tersebut diadakan di Kota Kinabalu dan Pengerusi Bersama dengan Presiden Majlis Perbandaran atau Pegawai Daerah jika diluar Kota Kinabalu.

1.4 ‘JAWATANKUASA TETAP PERINGKAT DAERAH’ bermaksud Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Presiden, Pegawai Daerah atau Penolong Pegawai Daerah atau mana-mana yang sesuai.

1.5 ‘PENGERUSI’ bermaksud Pengerusi Jawatankuasa Induk”.

 

2.0 PRINSIP-PRINSIP ASAS

 

2.1 ‘SUKAN SABAH’ adalah satu acara Pembangunan Sukan Negeri Sabah di bawah anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

2.2 ‘SUKAN SABAH’ akan diperhitungkan mulai daripada ‘SUKAN SABAH’ pertama yang berlangsung pada tahun 2003.

2.3  Arahan pengelolaan ‘SUKAN SABAH’ terletak kepada Jawatankuasa Induk.

 

3.0 JAWATANKUASA INDUK

 

3.1 Jawatankuasa Induk hendaklah mengandungi seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi, seorang Setiausaha, seorang Penolong Setiausaha, seorang Bendahari dan beberapa orang ahli yang terdiri daripada ahli-ahli yang dinyatakan dalam seksyen-seksyen kecil 3.2 dan 3.3 di bawah;

3.2 Y.B. Menteri Belia dan Sukan Sabah hendaklah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Induk.

3.3 Ahli Jawatankuasa Induk yang lain hendaklah dilantik oleh Y.B.  Menteri Belia dan Sukan  Sabah dan hendaklah terdiri seperti berikut:-

  1. Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan yang difikirkan perlu.

3.4 Tugas-tugas Jawatankuasa Induk ialah:-

  1. Menjaminkan ‘SUKAN SABAH’ dilaksanakan berdasarkan kepda prinsip-prinsip asas dan perkara yang tercatat di dalam semua peraturan ‘SUKAN SABAH’.

3.5 Kuasa-Kuasa Jawatankuasa Induk:-

  1. Pengerusi Jawatankuasa Induk berkuasa memanggil sesuatu mesyuarat apabila difikirkan perlu.
  2. Di dalam sesuatu mesyuarat Jawatankuasa Induk, Pengerusi boleh menjemput wakil dari mana-mana badan yang berkaitan untuk menghadiri mesyuarat jika dengan kehadiran mereka dapat membantu Jawatankuasa.  Bagaimanapun, jika dengan keadaan memerlukan dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Pengerusi bolehlah bertindak dalam membuat sesuatu keputusan.
  3. Jawatankuasa Induk boleh menggantung daerah, pasukan, pegawai, jurulatih atau atlet yang melanggar peraturan daripada mengambil bahagian di ‘SUKAN SABAH’ yang berikutnya.
  4. Jawatankuasa Induk boleh pada bila-bila masa menjemput atau menerima permohonan mana-mana Wilayah / Negeri / Negara untuk bertanding dalam mana-mana acara sukan yang dipertandingkan dalam SUKAN SABAH sebagai peserta / kontinjen jemputan.
  5. Jawatankuasa Induk boleh mengarah atau menarik balik semua keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa-jawatankuasa yang lain sekiranya difikirkan perlu.

 

4.0 JAWATANKUASA PENGELOLA/PELAKSANA

 

4.1 Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana ‘SUKAN SABAH’ mengandungi seorang (1) Pengerusi (jika kejohanan diadakan di Kota Kinabalu) atau dua (2) Pengerusi Bersama (jika kejohanan diadakan diluar Kota Kinabalu). Demikian juga bagi jawatan Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan beberapa ahli yang difikirkan perlu yang dilantik oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana dan hendaklah disahkan oleh Pengerusi.

4.2 Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana adalah bertanggungajwab dalam:-

  1. Menyediakan sepenuhnya pengelolaan ‘SUKAN SABAH’.
  2. Mengadakan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana dari masa ke semasa.
  3. Menubuhkan dan melantik Jawatankausa-jawatankausa Kerja dengan mempunyai bidang  tugas khusus dalam melaksanakan pengelolaan ‘SUKAN SABAH’.
  4. Pada amnya bertanggungajwab kepada Jawatankuasa Induk.

4.3 Tugas-tugas Jawatankausa Pengelola / Pelaksana:-

  1. Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana adalah bertanggungjawab membuat segala  persediaan yang perlu untuk ‘SUKAN SABAH’ dan ianya adalah tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Induk.
  2. Ahli Jawatankuasa Induk dari masa ke semasa hendaklah dijemput hadir ke Mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana.
  3. Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana hendaklah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada Persatuan Sukan Negeri dan tiap-tiap sukan hendaklah menubuhkan Jawatankuasa Kerja Teknikal dan Pertandingan yang mengandungi wakil-wakil daerah yang mana berkenaan bagi tiap-tiap sukan yang dipertandingkan.
  4. Jawatankuasa Peringkat Daerah - setiap Daerah mestilah diwakili oleh Pegawai Daerah atau Penolong Pegawai Daerah. Wakil dari Kementerian Belia dan Sukan Sabah / Lembaga Sukan Negeri Sabah / Majlis Sukan Negeri Sabah hendaklah dijemput hadir.

 

5.0 JAWATANKUASA TETAP

 

5.1 Jawatankuasa Tetap dipertanggungjawabkan untuk menetapkan jumlah jenis dan bilangan sukan yang dipertandingkan.

5.2 Sebuah Jawatankuasa akan ditubuhkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Sabah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah atau wakilnya dan dua orang ahli terdiri daripada wakil Lembaga Sukan Negeri Sabah dan Majlis Sukan Negeri Sabah.  Jawatankuasa Tetap ini berkuasa meneliti dan seterusnya membuat keputusan bagi pihak Jawatankausa Tertinggi dan Jawatankuasa Pengelola SUKAN SABAH sekiranya terdapat perkara-perkara berbangkit yang boleh menjejaskan perjalanan pertandingan SUKAN SABAH. Segala keputusan Jawatankuasa Tetap adalah muktamad.

 

6.0 SEKRETARIAT

 

6.1 Sekretariat adalah sebuah badan yang bertugas sepenuh masa, dalam membantu mengelolakan ‘SUKAN SABAH’.

6.2 Sekretariat adalah bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana.

 

7.0 PERATURAN PENGELOLAAN

 

7.1 Jawatankuasa Induk akan menetapkan tarikh, Zon/Daerah dimana ‘SUKAN SABAH’ berikutnya akan diadakan. Zon/Daerah yang diamanahkan bagi mengelola ’SUKAN SABAH’ adalah  bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Pengelola bagi mengendalikannya.

7.2 ‘SUKAN SABAH’ hendaklah diadakan dua (2) tahun sekali berselang-seli dengan SUKAN MALAYSIA.

7.3 Tempoh perlaksanaan ‘SUKAN SABAH’ hendaklah tidak melebihi 6 hari termasuk masa untuk acara perasmian dan penutupan.

7.4 Jawatankuasa Tetap akan menetapkan jumlah dan jenis sukan yang akan dipertandingkan dalam ‘SUKAN SABAH’.

7.5 Jemputan untuk menyertai ‘SUKAN SABAH’ hendaklah dihantar oleh Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana atas arahan Jawatankuasa Induk  selaras dengan Seksyen  3.7 (d).

7.6 Semua dokumen seperti kad-kad jemputan, borang penyertaan, borang-borang teknik, program dan sebagainya, dicetak, diukur atau yang digunakan sewaktu ‘SUKAN SABAH’ mahupun lencana hendaklah melahirkan atau menggambarkan SIRI BILANGAN SUKAN SABAH dan nama Zon / Daerah di mana berlangsungnya ’SUKAN SABAH’.

 

8.0 BENDERA DAN LOGO

 

8.1 Logo ‘SUKAN SABAH’ adalah seperti lampiran yang disertakan.

8.2 Bendera ‘SUKAN SABAH’ hendaklah dikibarkan bersama-sama dengan Bendera Zon / Daerah di tempat-tempat pertandingan, perkampungan Sukan dan lain-lain tempat yang sesuai.

8.3 Bendera Zon / Daerah hendaklah dikibarkan disemua tempat pertandignan dan di Perkampungan Sukan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana.

8.4 Satu batang tiang bendera bagi bendera SUKAN SABAH hendaklah disediakan di atas rumput di dalam Stadium Utama diadakan dan hendaklah dikibarkan sepanjang tempoh  SUKAN SABAH yang diadakan.

 

9.0 PENAJAAN DAN KUTIPAN DERMA

 

9.1 Lambang atau Logo SUKAN SABAH tidak boleh digunakan bagi maksud perniagaan kecuali dengan kebenaran Jawatankuasa Induk.

9.2 Setiap zon / daerah dan Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana boleh memasukkan ciri-ciri Logo SUKAN SABAH untuk menghasilkan rekabentuk Logo SUKAN SABAH yang berkenaan.

9.3 Jawatankuasa Induk mempunyai hak milik penuh ke atas SUKAN SABAH dan juga eksplotasi promosi dan penyiaran.

9.4 Semua rundingan penajaan di peringkat negeri serta hak penyiaran TV dan Radio hendaklah dibuat bersama antara Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana, Jawatankuasa Induk dan pihak penaja.

 

10.0 PENETAPAN BILANGAN DAN JENIS SUKAN

 

10.1 Jumlah dan jenis-jenis sukan yang akan dipertandingkan ditentukan oleh Jawatankuasa Tetap dengan mengambilkira kepada keperluan pembangunan sukan.

 

11.0 UPACARA PEMBUKAAN

 

11.1 Upacara Majlis Perasmian Pembukaan akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah.

11.2 Upacara Majlis Perasmian Penutupan akan disempurnakan oleh YB Menteri Belia dan Sukan Sabah. Walau bagaimanapun ketetapan boleh diputuskan oleh Jawatankuasa Induk.

 

12.0 UPACARA KEMENANGAN

 

12.1 Pingat-pingat kemenangan akan dihadiahkan kepada pemenang-pemenang sebaik sahaja selesai acara sesuatu pertandingan di tempat berlangsungnya pertandingan berkenaan.  Pemenang pertama berdiri di tengah-tengah pemenang kedua di kanannya dan pemenang ketiga di kirinya.

 

13.0 PINGAT KEMENANGAN

 

13.1 Pingat kemenangan untuk SUKAN SABAH hendaklah disediakan oleh Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana dan ia mestilah di dalam bentuk medal sahaja.

13.2 Bagi acara Individu dan Pasukan, pemenang pertama akan memenangi medal emas, pemenang kedua akan memenangi medal perak dan pemenangan ketiga akan memenangi medal gangsa.

13.3 Sekiranya Jawatankausa Induk / Jawatankausa Tetap membuat keputusan pertandingan mesti dijalankan atas sebab-sebab yang perlu dan munasabah walaupun penyertaan tidak mencukupi 6/4 peserta / pasukan, medal kemenangan individu dan berpasukan akan diberikan mengikut peraturan berikut:-

13.3.1 Sukan-sukan selain daripada seni mempertahankan diri (combat sports).

  1. 4 peserta / pasukan dan lebih: Emas, Perak dan Gangsa.
  2. 3 peserta / pasukan: Emas dan Perak sahaja.
  3. 2 peserta / pasukan: Emas sahaja.
  4. Peserta / pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir akan bertarung untuk menentukan pingat gangsa.

13.3.2 Sukan-sukan seni mempertahankan diri:-

  1. 4 peserta dan lebih: Emas, Perak dan Gangsa.
  2. 3 peserta : Emas dan Perak sahaja.
  3. 2 peserta: Emas sahaja.
  4. Kedua-dua perserta yang tewas diperingkat separuh akhir secara otomatik akan menerima pingat gangsa.

13.4 Setiap peserta yang didaftarkan di dalam acara yang dimenangi adalah layak untuk menerima medal kemenangan.

 

14.0 PIALA PUSINGAN

 

14.1 Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana akan menyediakan piala-piala pusingan dan piala-piala iringan bagi anugerah seperti berikut:-

  1. Johan Keseluruhan
  2. Atlet Lelaki Terbaik.
  3. Atlet Wanita Terbaik.

14.2 Pemilihan Johan Keseluruhan adalah berdasarkan kepada perolehan Pingat Emas terbanyak yang dikumpulkan oleh sesebuah kontinjen. 

 

15.0 KAD PENGENALAN DIRI

 

15.1 Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana hendaklah mengeluarkan Kad Pengenalan Diri SUKAN SABAH kepada pegawai-pegawai dan atlet yang didaftarkan mengikut Peraturan Am SUKAN SABAH dan kepada tetamu-tetamu khas yang diiktiraf (accredited) oleh Jawatankuasa Pengelola / Pelaksana.

15.2 Pengeluaran Kad Pengenalan Diri hendaklah dikeluarkan mengikut kategori yang ditetapkan seperti berikut:-

15.2.1 Merah (A)

AX      -     Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Induk

AXX    -     Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pengelola  

AY      -    Ketua Kotinjen

AYY    -    Presiden, Persatuan Sukan Negeri

 

15.2.2 Biru (B)

BX       -           Pegawai-pegawai sukan seperti berikut:

a.        -           Doktor

           -           Pengurus Pasukan

           -           Jurulatih

b.        -            Pegawai Teknikal seperti Pengadil, Hakim, Ahli Juri,  Penjaga Masa dan sebagainya.

 

15.2.3 Kuning ( C )

i.          -           Atlet-atlet yang mengambil bahagian.

 

15.2.4 Hijau (D)

i.           -          Pembantu-pembantu dan sebagainya seperti Penyambut Tetamu, Kerani-kerani dan sebagainya.

 

15.2.5 Putih (E)

i.           -           Para media massa yang berkenaan.

 

15.3 Di semua tempat pertandingan hendaklah disediakan tempat duduk khas bagi pegawai atau tetamu khas yang memegang Kad Pengenalan Diri Kategori Kad A (Merah) dan kepada Pemberita Akhbar yang memegang Kad Pengenalan Diri dalam Kategori E (Putih).

 

16.0 PINDAAN UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN

 

16.1 Semua undang-undang, Peraturan Tetap dan Peraturan Am SUKAN SABAH hanya boleh dipinda setelah dibincang dan dipersetujui Jawatankuasa Induk sahaja.

 

 

 

LAMPIRAN