Tawau juara Tertutup Sabah

KOTA KINABALU: Pasukan Tawau merangkul gelaran juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Tertutup Sabah 2019 yang berakhir di Stadium Likas, Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) di sini pada Ahad.

Ditunjangi pelatih-pelatih Sukan Malaysia (SUKMA) negeri, Tawau membawa pulang 11 pingat emas dan dua pingat gangsa untuk mengatasi 38 pasukan lain.

Kejohanan dua hari anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah itu disertai oleh 300 atlet dari seluruh negeri Sabah.

Menyaingi rapat pencapaian Tawau ialah pasukan Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) yang berjaya membolot enam emas, sembilan perak dan dua gangsa, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek menduduk tempat ketiga dengan dua emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Sekolah Sukan Negeri Sabah (SSNS) dengan dua emas, satu perak dan tiga gangsa menduduki tempat keempat, sambil pasukan Sukan Sabah (SAGA) Kota Marudu dengan dua emas menempatkan diri dalam kalangan lima pasukan terbaik pada kejohanan edisi pertama kali ini.

Baki lima lagi pingat emas yang ditawarkan masing-masing dimenangi oleh pasukan Ranau (1 emas, 3 perak, 1 gangsa), Persatuan Olahraga Daerah Kalabakan (1 emas, 1 perak), JIP AA (1 emas), SMK Telupid (1 emas) dan Berwang Sports Club (1 emas).

Setiausaha Tetap, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) Mohd. Yusrie Abdullah berucap di majlis penutupan dan penyampaian hadiah berkata, kementerian itu berharap Persatuan Olahraga Negeri Sabah (SAA) dapat dipulihkan segera untuk kembali aktif melaksanakan program pembangunan.

“Kementerian ini melalui MSN Sabah tidak berniat untuk mengambil alih pentadbiran SAA yang telah digantung pendaftarannya oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia sejak 29 Oktober 2018.

“Namun melihat betapa pentingnya kejohanan seperti ini dianjurkan demi menghargai penat lelah latihan para atlet dan masa terbuang oleh para jurulatih yang dedikasi, maka kejohanan ini dianjur untuk memberi peluang kepada semua atlet yang telah berlatih penuh gigih,” katanya.

“Kejohanan ini merupakan medan pemilihan untuk mengenalpasti bakat terbaik untuk mewakili Sabah menyertai Kejohanan Olahraga Kebangsaan Ke-96, 2019 yang akan berlangsung di Stadium Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 16-18 Ogos ini.

“Saya percaya, kejohanan ini juga membuka peluang untuk atlet daerah-daerah untuk menguji persiapan mereka sebelum bersaing di Sukan Sabah (SAGA) Keningau yang akan berlangsung bermula 7-13 Disember hadapan,” tambah beliau.

Hadir sama di majlis itu ialah Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS); Aliudin Jumaat,  Ketua Koordinator Physical Fitness, Universiti Malaysia Sabah (UMS); Prof. Dr. Dg. Maryamah Ag Daud, Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Acara) MSN Sabah; Valerie Wong, Ketua Persatuan Olahraga Daerah Tuaran yang juga pemenang pingat emas acara 400 meter lari berpagar Sukan SEA 1977; Simit Bolkiah serta pengarah pertandingan Bonnie Rudolf.

 

Category: